Category

Blogger Themes

Acaimiami. Theme images by micheldenijs. Powered by Blogger.

Followers

Featured Posts

Friday 3 August 2012

Manual Ramadan yang Bertepatan Sunnah


Segala kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan kepada semua hambaNya. Kalam kali ini akan membicarakan sebuah tajuk iaitu “Manual Ramadan yang Bertepatan Sunnah”. Sebagai pembuka kalam kali ini ayuh kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa.”


Puasa hendaklah dilaksanakan dengan ‘manual’ lahir dan batin seperti yang ditetapkan sunnah Rasulullah SAW. Latihan berlapar pada siang hari itu perlu diikuti dengan pakej latihan yang berbentuk hablumminallah dan hablummi annas. Antara pakej latihan itu ialah solat Terawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan sedekah, beriktikaf di masjid dan qiamulail.


Pelaksanaan puasa mesti mengikut hukum sah dan batalnya, syarat-syarat dan adab-adab yang telah ditentukan sunnah Rasulullah SAW. Ia tidak boleh dilaksanakan mengikut adat, nilai tradisi atau kebiasaan semata-mata. Antara sunnah Rasulullah SAW dalam berpuasa adalah:


1.       Solat Terawih


Daripada Abu Hurairah, bahawa beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan malam) Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan segala dosa yang lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


 2.       Bersahur dan melewatkan bersahur


Kita digalakkan untuk bersahur dan disunatkan untuk melewatkannya. Ia bertujuan untuk mengurangkan rasa lapar semasa berpuasa pada siang hari nanti. Selain itu, sahur ini adalah ciri yang membezakan di antara puasa umat Nabi Muhammad dengan puasa umat terdahulu.


Daripada Amru bin al-As, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perbezaan di antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim)


Daripada Anas, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu terdapat berkat.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 1823 dan Muslim no. 1090)


Daripada Anas bin Malik, Zaid Ibn Thabit menceritakan, “Kami makan sahur bersama Rasulullah, kemudian beliau bangun solat. Aku bertanya: Berapa lama tempoh di antara azan dan sahur? Baginda menjawab: Kira-kira membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis Riwayat Bukhari)


3.       Memperbanyakkan sedekah


Salah satu sifat mulia Rasulullah SAW adalah bersedekah. Sifat pemurah ini begitu terserlah pada diri Baginda. Namun, Baginda lebih pemurah pada bulan Ramadan. Daripada Ibn Abbas beliau berkata, “Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling pemurah, terutama sekali pada bulan Ramadan…” (Hadis Riwayat Bukhari no. 6 dan Muslim no. 50)


4.       Menyegerakan berbuka


Daripada Sahl bin Sa’ad, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka mahu menyegerakan berbuka.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 1856 dan Muslim no. 1098)


5.       Bertadarus al-Quran


Bertadarus al-Quran adalah orang yang membaca al-Quran sambil disemak bacaan itu oleh orang lain. Ini amalan sunat yang digalakkan. Rasulullah SAW sendiri bertadarus semasa bulan Ramadan bersama Jibril. Daripada Ibn Abbas, belia berkata, “… Setiap kali Jibril menemui Baginda pada malam Ramadan, pasti beliau sedang mentadabburi al-Quran…” (Hadis Riwayat Bukhari no. 6 dan Muslim no. 50)


6.       Menjamu orang yang berbuka puasa


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad)


7.       Iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan


Daripada Ibn Umar beliau berkata, “Adalah Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 2025 dan Muslim no. 1171)


8.       Berbuka puasa dengan rutab, tamar ataupun air


Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, “Rasulullah berbuka puasa dengan memakan beberapa biji rutab (buah kurma yang masih basah) sebelum menunaikan solat. Sekiranya tiada rutab, Baginda berbuka dengan dengan kurma (tamar). Sekiranya tiada kurma, Baginda minum beberapa teguk air.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)


 9.       Meninggalkan menipu, percakapan kotor dan karut


Daripada Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan/atau perbuatan yang tidak senonoh (saat berpuasa), maka Allah sama sekali tidak akan mempedulikan puasanya.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 5710)


Akhirul kalam, ini adalah sebahagian daripada manual yang bertepatan sunnah dalam berpuasa daripada sudut pandang penulis. Semoga kita dapat mengambil manfaat daripadanya. Semoga kita kekal konsisten dalam mengamalkan sunnah Rasulullah SAW sepanjang Ramadan dan bulan yang mendatang. Wallahuaklam.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kami Adalah Khalifah ALLAH Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger