Category

Blogger Themes

Acaimiami. Theme images by micheldenijs. Powered by Blogger.

Followers

Featured Posts

Friday 3 August 2012

‘Islam Warisi’ vs ‘Islam Hakiki’

Setinggi syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat Islam dan Iman yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita sebagai hambaNya pada saat ini. Kalam kali ini akan membicarakan sebuah tajuk iaitu ‘Islam Warisi’ vs ‘Islam Hakiki’ Sebagai pembuka kalam kali ini, ayuh kita hayati sebuah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud,

“Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”

Jika kita melihat firman Allah di atas maka dapatlah kita fahami bahawa Allah SWT memerintahkan setiap hambaNya memahami dan mengamalkan Islam secara menyeluruh (total) tanpa meninggalkan sesuatu perkara yang lain. Sebagai contoh, mungkin dalam aspek politik, kita mengikuti garis panduan syariat manakala dalam aspek ekonomi kita tidak meletakkan syariat sebagai panduan dan teras.
Perkara seperti ini tidak boleh kita lakukan kerana setiap perlakuan kita perlu berlandaskan syariat Allah SWT dan perlu sentiasa mengamalkan cara hidup Islam secara total tanpa meninggalkan sebahagian yang lain. *Untuk rujukan yang lebih lanjut, anda boleh melihat kalam yang lalu iaitu (“Kompas Hidup”)
Kembali semula kepada tajuk utama kalam kali ini, apakah yang dimaksudkan sebagai ‘Islam Warisi’ dan ‘Islam Hakiki’? Berdasarkan firman Allah di atas, Allah SWT telah memerintahkan kepada hambaNya untuk memahami dan mengamalkan Islam secara total tetapi malangnya pada hari ini, kebanyakan masyarakat kita hanya menjadi ‘Islam Warisi’ iaitu mewarisi Islam daripada keluarga tanpa memikirkan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Firman Allah SWT dalm surah al-Mukminun ayat 115 yang bermaksud, “Maka apakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu sia-sia (tanpa tujuan) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Daripada firman Allah SWT di atas, secara jelas dapat kita fahami bahawa kita bukannya diciptakan secara sia-sia (tanpa tujuan) di atas muka bumi ini tetapi Allah SWT telah menyediakan tugas dan amanah yang wajib kita pikul dan laksanakannnya yang mana salah satunya seperti firmanNya dalam surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.”
Manakala dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud, “Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaatiNya, semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)”

Tuntasnya, inilah di antara tugas kita sebagai manusia yang bergelar khalifah di muka bumi Allah ini. Perbezaan di antara mereka yang bergelar ‘Islam Warisi’ dengan ‘Islam Hakiki’ adalah mereka yang bergelar ‘Islam Hakiki’ mengetahui kenapa dirinya diciptakan oleh Allah SWT, kenapa perlu bersolat dan melaksanakannya segala perintah Allah dan RasulNya berbanding dengan mereka yang hanya mewarisi Islam sahaja, tatkala ditanyakan kenapa solat? Kerap kali jawapan yang akan dijawab mereka, “Entahlah, mak ayah saya solat, jadi saya solatlah.”
Jika kita meniliti pengertian Islam dalam bahasa Arab adalah salama yang bermaksud selamat. Manakala daripada segi istilahnya pula ia membawa maksud mentauhidkan Allah dengan sepenuh kepatuhan, kecintaan serta menyerah diri kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya.
Bersyukurlah kerana kita dilahirkan oleh Allah SWT dalam keadaan Islam kerana Islam adalah sebuah agama yang benar. Demi menzahirkan kesyukuran itu, maka dengan itu kita sebagai hambaNya perlulah melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Islam bukan sahaja mencakupi aspek ibadah semata-mata tetapi Islam meliputi segenap aspek kehidupan ini. Tidak kira daripada aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Islam sebuah agama yang komprehensif (syumul), merupakan sebuah agama yang lengkap dan tidak memerlukan sebarang penambahan dan perubahan.
Justeru, ayuh kita bermuhasabah kembali. Apakah kita benar memahami Islam ini secara total (menyeluruh) ataupun sebaliknya? Jika tidak ayuh kita bersama-sama dalam memperbaiki diri kita dengan menambahkan ilmu dan beramal dengan ilmu itu. Mudah-mudahan kita akan tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa. Jadilah seorang Islam yang mana ‘Islam Hakiki’ dan bukannya hanya mewarisi Islam daripada keluarga semata-mata. Wallahuaklam.

“Islam dihayati di dalam diri, Iman teguh terpasak di hati”


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kami Adalah Khalifah ALLAH Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger